Wednesday 4 May 2011

Asal-usul Nama Selangor


Ketiadaan ketua kaum di Kuala Selangor telah membawa keinginan bagi Perak dan Kedah menjadi Penghulu di situ. Malangnya tidak seorang pun dari mereka yang datang itu diterima oleh penduduk tempatan. Keadaan ini sangat berbeza dengan kedatangan Raja Lumu yang telah disambut baik dan diiktiraf menjadi Yang Dipertuan Selangor pertama.
Mereka yang datang ke situ hanya dibenarkan meneroka tanah baru dan membuat tempat kediaman di sepanjang pinggir Sungai Selangor. Sehingga ini masih terdapat lagi beberapa buah kampung mengikut nama negeri atau tempat si peneroka itu datang, umpamanya Kampung Kedah, Kampung Siam, Asahan dan Kampung Kuantan.Sebelum kedatangan Raja Lumu ke Kuala Selangor, nama Selangor telah pun wujud. Penjelasan ini didapati dari beberapa orang tempatan. Untuk mengetahui asal mulanya nama Selangor, beberapa cerita lisan telah didapati dari orang-orang yang tinggal di Kampung Permatang, Kampung Kuantan dan Jeram.

Cerita-cerita lisan

Ada cerita mengatakan nama Selangor ialah dari sebutan seekor langau, sejenis binatang merupai lalat tetapi berwarna hijau.
Cerita ini selanjutnya menerangkan kononya seorang pahlawan datang dari selatan dalam perjalanannya ke utara. Pahlawan itu datang dari Melaka yang ketika itu telah dikalahkan Portugis. Beliau keletihan dan cuba berehat di bawah sebatang pokok. Belum pun sempat melelapkan mata datang seekor langau terbang mengelilingi kepalanya .
Kemudian langau itu hinggap di hidungnya, pahlawan itu cuba menamparnya tetapi langau tersebut terbang. Begitulah keadaannya beberapa kali. Dengan satu tekad pahlawan tadi membuat keputusan sekiranya keadaan itu berlaku lagi ia akan menampar langau tersebut sekuat-kuat hatinya. Apakala langau tersebut hinggap ke batang hidungnya pahlawan itu pun menampar seberapa kuat yang boleh, malangnya langau terus berlalu hanya tinggal kesan sakitnya sahaja di batang hidung.Dari keadaan inilah setiap kali dia memegang hidungnya setiap itulah pula teringatkan kesan seekor langau. Tebitlah di fikirannya bahawa dia tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana panglima atau pahlawan, tetapi dia tewas oleh seekor langau sahaja.Kejadian ini telah menimbulkan keinginannya untuk meneroka tempat tersebut dan membatalkan sahaja rancangannya hendak mengembara lebih jauh lagi. Tempat itulah dinamakan se (satu) langau, kemudiannya Selangor.
Kisah ini ada persamaannya dengan cerita asal nama Singapura, iaitu bermula dari SINGA PURA-PURA sejenis binatang membawa nama baru pada Temasik. Begitulah juga dari pokok melaka dan kejadian anjing kepunyaan Sultan Mahmud Syah yang dibawa oleh bendahara sri Wak Raja berburu, kemudiannya tercampak ke dalam perigi buta kerana ditendang oleh seekor pelanduk putih. Dari sempena baginda bersandar ke pokok melaka lahirlah nama Melaka.
Pendapat lain menyebut bahawa nama Selangor berasal dari banyaknya pokok mentangau, sejenis kayu laut. Sebenarnya pokok mentangau ini masih boleh lagi didapati sekarang ini di pinggir Sungai Selangor.
Selain dari itu ada lagi pendapat mengatakan pokok-pokok kayu mentangau ini selain dari banyak tumbuhnya, ia juga sejenis kayu yang tinggi dan boleh nampak dari laut, sehinggakan setengah-setengah pedagang mengatakan, "Aku nak singgah di kuala mentangau," kepelatan ini menjadi Selangor.Lagi pun mengikut kebiasaannya orang-orang zaman dahulu terlalu suka memberi nama sesuatu tempat itu berpandukan kepada nama pokok atau kejadian di situ.Beberapa buah kampung di daerah Kuala Selangor sendiri banyak yang dilahirkandari nama pokok. Umpamanya : kampung-kampung Assam Jawa, Api-api, Sungai Buluh, Bukit Rotan, Ijok.
Di tempat-tempat lain juga terdapat beberapa buah tempat yang berasal dari nama pokok, umpamanya Durian Sebatang, Durian Tunggal, Bagan Serai, Bukit Lada, Pulau pinang, Nibong Tebal dan lain-lain lagi.Sebuah lagi cerita mengatakan ada sebuah bahtera dari Kedah ke Selangor kerana nakhodanya ingin menjadi Penghulu di situ. Berita ini lebih dahulu telah diketahui oleh orang-orang Kuala Selangor, oleh sebab itu mereka menjalankan ikhtiar agar rombongan tersebut tidak dapat mudik Tidak jauh dari kuala sungai yang dimudiki oleh bahtera Kedah itu ia pun tersekat dan tidak dapat bergerak lagi. Beberapa ikhtiar telah dicuba tetapi semuanya tidak berjaya. Nakhodanya pun memerintahkan supaya salah seorang dari anak buahnya turun ke dasar sungai melihatkan apakah yang menyebabkan bahteranya tidak dapat bergerak.Dalam tinjauannya itu didapati beratus-ratus batang kayumentangau telah beruncing hujungnya disusun berselang-seli di perut sungai tersebut. Kononnya kerja-kerja ini adalah satu usaha menghalang kemaraan angkatan Kedah tadi ke tempat tersebut. Dari itulah datangnya perkataan sungai mentangau.

Pendapat lain pula menyebut nama Selangor adalah berasal dari perkataan salang dan jemur. Ini berpandukan kepada suatu tempat di pinggir Sungai Selangor yang dahulunya dijadikan tempat menghukum penderhaka dengan hukuman salang dan kemudiannya dijemur. Gabungan dari perkataan salang dan jemur ini terbitlah Selangor.Satu lagi pendapat menyebut nama Selangor sememangnya berasal dari perkataan mentangau, tetapi bentuk ceritanya berbeza.

Menurut ceritanya seorang yang dianggap sebagai panglima diraja tetapi tidak diketahui dari mana datangnya, setelah memudiki sungai tersebut bersama-sama keluarganya, kira-kira dua batu dari kuala sungai terdapat di kawasan keadaan air di situ berolak dan berpusing.
Walaupun begitu panglima ini meneruskan juga perjalanannya hingga bertemu dengan sebatang pongka kayu mentengau di tengah-tengah sungai tersebut. Inilah yang menyebabkan keadaan air di situ berolak. Sekiranya dilintasi juga nescaya akan karamlah perahunya.
Setelah dirundingkan bersama-sama keluarganya, panglima itu pun mematikan cita-citanya dan meneroka tempat tersebut. Beberapa kemudian anak perempuannya telah menjadi gadis, beberapa orang jejaka berhampiran dengan kampungnya itu telah datang meminang tetapi semuanya ditolak.
Tamil menamakan Salang ur yang bererti kampung salang yakni kampung orang salang. Pendapat ini juga boleh dipadankan dengan nama asal Singapura, yang berasal dari SINGGAH PURA atau BANDAR SINGGAH dalam bahasa Hindu tua.

Penduduk Awal Kuala Selangor

Penduduk Kuala Selangor yang awal adalah dari orang laut yang hidup dengan menangkap ikan. Mereka tinggal disepanjang tebing sungai Selangor kira-kira 3 batu dari kuala sungai hingga ke hulunya.
Ketua mereka terdiri dari seorang wanita keturunan Bugis yang mempunyai sifat kasih dan penyayang serta pandai mengambil hati anak buahnya. Sifat-sifat inilah yang menarik perhatian penduduk di situ tidak akan berketuakan lain dari keturunan Bugis. Walaupun ada orang lain yang ingin menjadi ketua di Kuala Selangor.
Tetapi dalam buku R.J. Wilkinson ada mengatakan orang Bugis yang bertempat di Selangor (Kuala Selangor) bernama Daeng Lakani dalam K.M 17 bererti di Kuala Selangor ada didiami oleh kaum lain sebelum itu, dengan itu nyatalah orang Bugis telah bertapak di Kuala Selangor sejak K.M. 17 lagi.
Penduduk di Kuala Selangor ketika itu dikatakan sebagai petani dan nelayan, ada juga menjalankan kegiatan melanun dan menyamun di sepanjang pantai Selangor. Hasil dari samunan ini mereka simpan di sebuah teluk yang sehingga kini dikenali dengan nama Teluk Penyamun, kira-kira sebatu dari Kuala Sungai.
Sejarah Melayu, naskhah Raffles No 18, ada menyebut bahawa semasa Sultan Mahmud Shah Melaka di Bentan kira-kira T.M 1513, Tun Mahmud (Seri Agar Diraja) dirajakan di Selangor.
Jeram, di antara tempat-tempat yang tertua di Selangor, terletak di daerah ini telah juga tersebut dalam Sejarah Melayu. Dikatakan bahawa Sultan Mansur Syah Melaka yang memerintah dari 1459 hingga 1477 telah merajakan peteranya Paduka Seri Cina di Jeram.
Satu lagi tempat tertua di Selangor ialah Permatang, bertentangan dengan Kuala Selangor dan diceraikan oleh Sungai Selangor. Permatang adalah terletak di bawah pengaruh kerajaan Melaka dan apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511, kekuasaan terhadapnya diwarisi oleh kerajaan Johor.
Pada Kurun Masehi 17 semasa orang Bugis secara beramai-ramai keluar dari negerinya mencari tempat dan penghidupan baru, Selangor adalah merupakan tempat yang menjadi tumpuan mereka. Di Selangorlah juga dijadikan sebagai pusat gerakan untuk ke negeri-negeri lain seperti Perak dan Kedah.
Dari keterangan di atas nyatalah Selangor telah dikenali sebelum Kurun Masehi 17, ini bermakna Selangor telah didiami oleh orang dan ada penduduk sebelum tarikh tersebut

No comments:

Post a Comment