Sunday, 15 May 2011

BESILAM


Besilam adalah sebuah perkampungan yang terlatak di Bumi Sumatra Utara lebih tepatnya di daerah Kabupaten Langkat, Kecamatan Padang Tualang, sekitar 65 KM dari kota Medan. Secara etimologis, "besilam" berarti pintu kesejahteraan. Kampung ini pertama sekali dibangun oleh Almarhum Tuan Guru Syekh Abdul Wahab Rokan atau yang lebih dikenal dengan sebutan Tuan Guru Babussalam. Ia adalah seorang Ulama dan pemimpin Tarekat Naqsabandiyah. Di Kampung ini terdapat makam Syekh Abdul Wahab Rokan yang dikenal juga dengan Syekh Basilam yang merupakan murid dari Syekh Sulaiman Zuhdi di Jabal Qubais Mekkah. Tampak sekilas, kampung Basilam mirip dengan sebuah pesantren yang terpencil, teduh, asri,dan damai. terlihat ada Mesjid utama dan sebuah bangunan berkubah lengkung disebelah masjid, sebuah bagunan utama dari kayu hitam yang besar dengan gaya rumah panggung, serta beberapa bangunan tambahan lainnya. Selain terdapat makam beliau, dikampung ini juga merupakan pusat penyebaran Tharikat Naqsybandiah Babussalam yang sekarang dipimpin oleh tuan Guru Syekh H. Hasyim Al-Syarwani, atau lebih dikenal Tuan Guru Hasyim.

Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin `Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 19 Rabiulakhir 1230 H/28 September 1811 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/27 Desember 1926 M. Ayahnya bernama Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tambusei, seorang ulama besar yang 'abid dan cukup terkemuka pada saat itu. Sedangkan ibunya bernama Arbaiyah binti Datuk Dagi bin Tengku Perdana Menteri bin Sultan Ibrahim yang memiliki pertalian darah dengan Sultan Langkat. Syekh Abdul Wahab meninggal pada usia 115 tahun pada 21 Jumadil Awal 1345 H atau 27 Desember 1926 M. Salah satu kekhasan Syekh Abdul Wahab dibanding dengan sufi-sufi lainnya adalah bahwa ia telah meninggalkan lokasi perkampungan bagi anak cucu dan murid-muridnya. Daerah yang bernama "Babussalam" atau "Besilam" ini di bangun pada 12 Syawal 1300 H (1883 M) yang merupakan wakaf muridnya sendiri Sultan Musa al-Muazzamsyah, Raja Langkat pada masa itu. Disinilah ia menetap, mengajarkan Tarekat Naqsyabandiyah sampai akhir hayatnya. Di sela-sela kesibukannya sebagai pimpinan Tarekat Naqsyabandiyah, Syekh Abdul Wahab masih menyempatkan diri untuk menuliskan pemikiran sufistiknya, baik dalam bentuk khutbah-khutbah, wasiat, maupun syair-syair yang ditulis dalam aksara Arab Melayu. Tercatat ada dua belas khutbah yang ia tulis dan masih terus diajarkan pada jamaah di Babussalam.

Sebagian khutbah-khutbah tersebut -enam buah diantaranya- diberi judul dengan nama-nama bulan dalam tahun Hijriyah yakni Khutbah Muharram, Khutbah Rajab, Khutbah Sya'ban, Khutbah Ramadhan, Khutbah Syawal, dan Khutbah Dzulqa'dah. Dua khutbah lain tentang dua hari raya yakni Khutbah Idul Fitri dan Khutbah Idul Adha. Sedangkan empat khutbah lagi masing-masing berjudul Khutbah Kelebihan Jumat, Khutbah Nabi Sulaiman, Khutbah Ular Hitam, dan Khutbah Dosa Sosial. Karya tulis Syekh Abdul Wahab dalam bentuk syair, terbagi pada tiga bagian yakni Munajat, Syair Burung Garuda dan Syair Sindiran. Syair Munajat yang berisi pujian dan doa kepada Allah, sampai hari ini masih terus dilantunkan di Madrasah Besar Babussalam oleh setiap muazzin sebelum azan dikumandangkan. Walaupun Tuan Syekh Abdul

Wahab Rokan bukanlah sosok yang terkenal dalam pergerakan melawan imperialisme Belanda, tapi ia aktif dalam mengarahkan strategi perjuangan non fisik sebagai upaya melawan sistem kolonialisme. Ia mengirim utusan ke Jakarta untuk bertemu dengan H.O.S. Tjokroaminoto dan mendirikan cabang Syarikat Islam di Babussalam di bawah pimpinan H. Idris Kelantan. Nama Tuan Syekh Abdul Wahab Rokan sendiri tercantum sebagai penasihat organisasi. Beliau juga pernah ikut terlibat langsung dalam peperangan melawan Belanda di Aceh pada tahun 1308 H. Menurut cerita dari pihak Belanda yang pada saat itu sempat mengambil fotonya, Tuan Syekh Abdul Wahab Rokan mampu terbang di angkasa, menyerang dengan gagah perkasa, dan tidak dapat ditembak dengan senapang atau meriam. Sebagai seorang yang sangat dipuja pengikutnya, Tuan Syekh Abdul Wahab Rokan cukup dikeramatkan oleh penduduk setempat. Sejumlah cerita keramat tentang beliau yang cukup populer di kalangan masyarakat Langkat diantaranya : pada suatu masa pihak Belanda merasa curiga karena ia tidak pernah kekurangan uang. Lantas mereka menuduhnya telah membuat uang palsu. Ia merasa sangat tersinggung, sehingga ia meninggalkan Kampung Babussalam dan pindah ke Sumujung, Malaysia.

Sebagai informasi, pada saat itulah kesempatan beliau mengembangkan tarekat Naqsabandiyah di Malaysia, di mana sebagian pengikutnya adalah rombongan tour yang sedang kami handle saat ini. Nah, selama kepergiannya itu, konon sumber-sumber minyak BPM Batavsche Petroleum Matschapij (sekarang Pertamina) di Langkat menjadi kering. Kepah dan ikan di lautan sekitar Langkat juga menghilang sehingga menimbulkan kecemasan kepada para penguasa Langkat. Akhirnya ia dijemput dan dimohon untuk menetap kembali di Babussalam. Setelah itu, sumber minyak pun mengalir dan ikan-ikan bertambah banyak di lautan. Kaum buruh dan nelayan senang sekali. Sesudah beliau wafat, banyak orang yang berziarah dan bernazar ke kuburnya. bertepatan dengan hari wafat Tuan Guru Syeikh Abdul Wahab Rokan diadakanara haul besar peringatan wafat Tuan Guru Pertama, yakni pada tanggal 21 Jumadil Awal setiap tahunnya.
Saat inilah datang ribuan murid dan peziarah dari seluruh pelosok Asia dan Indonesia ke Basilam. Di hari pertama dan kedua haul, pada malam hari seusai shalat isya, para khalifah (sebutan pengikutnya) dan peziarah melakukan dzikir di depan makam Tuan Guru Syeikh Abdul Wahab Rokan. Peziarah datang ke sini selain untuk mengikuti acara dzikir bersama di makam Tuan Guru, juga bersilaturahmi dengan penerus Tuan Guru Basilam. Di saat inilah, kampung Besilam yang biasanya teduh dan tenang mendadak menjadi sibuk karena datangnya ratusan bis ke sana membawa ribuan wisatawan, khalifah, dan peziarah.

Kesultanan Awal Selangor


Sejarah Kesultanan

Sebagaimana yang tertulis di atas bahawa sebelum Kuala Selangor mempunyai sultan tempat ini telah pun didiami oleh orang laut diketuai oleh Upu Chendera Burung. Kisah ini berlainan jika dikaitkan dengan Selangor seluruhnya. Kalau berpandukan kepada kesultanan pertama memanglah tiada siapa dapat menafikan bahawa Raja Lumu yang bergelar Sultan Salahuddin itu merupakan Yang DiPertuan Kuala Selangor (Selangor) pertama.

Walaupun ada setengah pendapat mengatakan bahawa Raja Lumu bukannya sultan pertama di Selangor kerana sebelum Raja Lumu datang di Selangor telah ada yang memerintahnya. Malah keterangan itu mendakwa di Klang telah lebih awal mempunyai ketua, Datuk Engku Klang.
Datuk Engku Klang dikatakan berasal dari Negeri Sembilan, anak Sultan Johor. Dalam keterangan yang sama juga menjelaskan bahawa di Kuala Selangor telah ditadbir oleh Datuk Penggawa, Langat Datuk Aru, Ulu Langat dipimpin oleh Datuk Engku Kelang dan Klang pula ditadbir oleh En Chik Yang Tujuh.
Berpandukan dari keterangan ini nyatalah bahawa pimpinan Datuk Engku Klang tidak meliputi Kuala Selangor, beliau hanya berkuasa di sepanjang Sungai Klang sahaja.

Kesultanan Awal

Kesultanan awal Selangor juga bermula dari Kuala Selangor kerana kesan-kesan yang membuktikan pendapat ini masih terdapat di Kuala Selangor hingga sekarang ini. Akhir K.M 17 di Kuala Selangor telah mempunyai Yam Tuan iaitu seorang raja dari negeri Gua Tanah Bugis bernama Arang Pasarai dan anaknyalah yang berkahwin dengan Daeng Perani, salah seorang anak raja Bugis lima bersaudara kemudiannya mendapat puteri Berima.
Daeng Perani dengan bantuan saudara-saudaranya pergi membantu Sultan Kedah kerana rebutan kuasa. Dalam pertempuran ini Daeng Perani mangkat kena tembak. Seorang lagi dari Raja Bugis itu ialah Daeng Chelak berkahwin dengan Tengku Mandak adinda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah ( 1722-1760) Johor. Apakala Daeng Chelak bertugas ke Riau sebagai Yam Tuan Muda Riau ke 11 dalam tahun 1730an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan Raja Siak mengacau ketenteraman Selangor.
Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan kemudiannya beliau lari ke Siak. Dari semenjak itulah daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor. Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau.
Tahun 1742 Daeng Chelak ke Kuala Selangor dengan orang Bugis menyerang Perak dan beberapa ketika disana kemudian ke Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.
Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Kuala Selangor.
Pendapat yang lain pula menyebut, dalam tahun 1743 Raja Lumu telah belayar dari Riau untuk mencari negeri baru ke utara Melaka. Turut serta dalam rombongan itu ialah Daeng Loklok dan beberapa orang pengikutnya. Disebabkan keputusan air minum, rombongan ini pun singgah di sebuah pulau kononnya itu ialah Pulau Angsa sekarang ini. Di situ tidak terdapat air tawar untuk dijadikan minuman lalu singgah dan masuk menyusur ke Sungai Selangor. Setelah sampai ke suatu gelanggang menyabung ayam, jong pun berlabuh. Kedatangan Raja Lumu ini disambut baik oleh anak-anak tempatan kerana beliau dari keturunan Bugis, sebagaimana sumpahan mereka.
Hasrat untuk mencari air tawar untuk miniman itupun luput dari fikiran Raja Lumu bila penduduk tempatan meminta baginda menjadi ketua mereka. Permintaan ini dipersetujui oleh Raja Lumu. Sebagai menyampaikan hajat Raja Lumu, sebuah kolam air tawar di kaki bukit di pinggir Sungai Selangor telah ditunjukkan kepada baginda. Pengakuan dari Raja Lumu inilah berpuncanya kesultanan awal di Kuala Selangor. Raja Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Selangor pertama, Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.
Berita yang mengatakan Raja Lumu anak Daeng Chelak dari Bugis menjadi Yang DiPertuan Selangor itu sampai pula dari pendengaran Sultan Muzaffar Syah di Perak, ketika itu bersemayam di Beruas.
Sultan Muzaffar Syah pun menghantar utusan untuk mempersilakan Raja Lumu barangkat ke Kuala Bernam sebagai pertemuan dengan baginda. Ketibaan Raja Lumu disambut dengan penuh istiadat raja besar-besaran dengan pukulan nobat dan tiupan nefiri. Acara ini dilakukan dengan tujuan sebagai ujian kepada Raja Lumu, adakah beliau benar-benar berketurunan raja yang berdaulat.
Setelah semua ujian itu tidak mendatangkan apa-apa bencana terhadap Raja Lumu, baginda Sultan Muzaffar Syah pun mengesahkan perlantikan tersebut. Seterusnya dinobatkan dan bergelar Sultan Salehuddin Syah, sementara Daeng Loklok digelar Datuk Maharaja Lela Husin.
Pertabalan penuh sejarah itu dilakukan di Pulau Pangkor dalam tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Sultan Salehuddin Syah pulang ke Kuala Selangor. Itulah Sultan Selangor yang pertama bersemayam di atas Bukit Selangor yang dikenal dengan nama Bukit Malawati.
Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Dalam perundingan di antara kedua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang DiPertuan Besar Selangor digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak.
Setelah sampai ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyak Selangor dengan penuh istiadat. Dari sejak itu antara keduanya menjadi sahabat baik sentiasa berutusan. Malangnya dalam buku ini tidak menyebutkan siapakah nama Yang DiPertuan Perak pada ketika itu, tetapi jika memandangkan kepada nama Yang DiPertuan Selangor yang ditabalkan itu ialah sultan Salehuddin memerintah tahun 1756 hingga 1778.
Tetapi Sejarah Melayu v ditulis oleh Buyong Adil dalam The Malay School Series 1952 menyebut Sultan Selangor itu memerintah dalam tahun 1743-1770. Ketika itu baginda berangkat ke Perak dan dinobatkan oleh Sultan Perak bergelar Sultan Salehuddin
Begitu juga dalam sebuah buku cenderamata Selangor 1939 yang bertulis dalam tulisan jawi, diruangan salasilah Sultan Selangor bertulis Sultan Salehuddin memerintah dalam tahun 1743.
Walau bagaimanapun sekiranya benar yang dinobatkan Raja Lumu, memanglah jelas penabalan baginda berkisar dari tahun 1743-1756. Memandangkan pada tarikh ini nyatalah pula Yang DiPertuan Perak ketika itu Raja Inu bergelar Sultan Muzaffar Shah 111 memerintah 1728-1756.
Mengikut buku Misa Melayu yang ditulis oleh Raja Chulan bin Raja Ab. Hamid, semasa Perak diperintah oleh Sultan Mahmud Syah, Raja Selangor datang mengadap ke Perak. Ketika ini Raja Selangor dinobatkan dan terus dikurniakan gelaran Sultan Salehuddin dengan mengurniakan cap mohor.
Kenyataan dari buku Misa Melayu ini agak berbeza dengan pendapat-pendapat lain, tetapi kemungkinan ada sedikit persamaannya dengan keterangan buku yang ditulis oleh Barbara Watson Andaya, Perak bertajuk The Abode of Grace, terbitan Oxford University Press 1979.
Buku ini menyebut Raja Kimas atau Sultan Mahmud Syah Perak yang mengistiharkan Raja Lumu sebagai pemerintah bebas Selangor. Tetapi kenyataan ini boleh juga dianggap pengistiharannya sebagai pemerintah bebas sahaja dilakukan oleh Sultan Mahmud, sebagai mengukuhkan kedudukan Raja Lumu Selangor. Kemungkinan juga pengistiharan penabalan ini dilakukan sebagai membebaskan diri Raja Lumu dari cenkaman Johor dan Riau pada ketika itu.
Keterangan ini berkemungkinan ada benarnya kerana memandangkan tarikh yang disebut di atas tadi, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Johor dan Riau apabila berkirim surat kepada Raja Lumu, baginda menggunakan gelaran Sultan Salehuddin.
Sejarah Johor ini juga ada mengatakan pada 30hb. January, 1756, Sultan Sulaiman (Johor) berangkat ke Riau. Pada tahun itu juga didapati bermulanya gelaran raja pemerintah Selangor itu Sultan Salehuddin iaitu abang Raja Haji, putera Daeng Chelak Yamtuan Muda Riau Kedua.
Memandangkan dari keterangan-keterangan tadi jelaslah bahawa Raja Lumu dinobatkan oleh Sultan Muzaffar Syah 111 Perak kira-kira sebelum tahun 1756. Menyentuh mengenai kepulangan Sultan Salehuddin Selangor selepas diistiharkan menjadi Yang DiPertuan Selangor juga terdapat beberapa perbezaan : Mengikut Tuhfakul al Nafis kepulangannya diiringi oleh Yang DiPertuan Perak. Sementara dalam buku Misa Melayu pula mengatakan selepas Raja Lumu dinobatkan bergelar Sultan Salehuddin, baginda kemudiannya berangkat mendapatka Rja Haji yang sedang berperang ke negeri Kedah.
Begitu juga dalam Sejarah Alam Melayu V menyebut, Raja Lumu Selangor datang ke Perak dan meminta gelaran kepada Yang DiPertuan Perak, tetapi tidak menyebut siapakah pengiringnya waktu pulang ke Selangor.
Mengikut suatu pendapat cara lisan jika menganalisa dari peribadi Raja Lumu, sebelum dianya bergelar baginda telah berkahwin dengan salah seorang puteri Perak. Jika ini benar tidaklah syak lagi ada kebenarannya Yang Dipertuan perak mengiringi baginda pulang ke Selangor. Lebih-lebih lagi Raja Lumu semasa berada di Perak hanya menerima gelaran sahaja, sedangkan penobatannya berlangsung di Kuala Selangor, yakni di hadapan rakyat Selangor. Memang ada kemungkinan Yang DiPertuan Perak turut menyertai upacara itu.

DARI UNSUR-UNSUR LAIN

Di Klang ketika itu ada empat orang datuk yang sama sahaja jawatannya iaitu Datuk Engku , Datuk Aru, Datuk Penggawa dan Datuk Kecil Yang Tujuh (Anak Encik Kuning) yang menggelar dirinya Orang Kaya Klang setelah mendapat persetujuan dari Datuk Engku, selaku pemimpin utama ketika itu.
Disebabkan keempat-empat mereka ini mempunyai tanggungjawab yang sama, mereka pun mengambil keputusan supaya menjemput seorang raja sebagai penaung. Dari sebab-sebab inilah Raja Lumu dijemput khas datang ke Selangor menjadi Yang DiPertuan pertama bertempat di Bukit Selangor dengan persetujuan ayahandanya, Daeng Chelak.

Keterangan ini juga diikuti pula satu keterangan lain itu sebelumnya Raja Lumu datang, Selangor telah ada mempunyai ketua atau orang besar bergelar Datuk Engku Pinang Tunggal. Makamnya masih ada di Sungai Way, Selangor. Datuk Engku Klang ini lima beradik berasal dari Johor, mendapat arahan dari ayahandanya, Bendahara Sekudai supaya datang ke Selangor. Empat orang adiknya yang lain ialah Datuk Kelana, Datuk Jelebu, Datuk Johol dan Datuk rembau. Kesemuanya bertapak di Negeri Sembilan.
Setelah empat keturunan dari Datuk Engku iaitu di zaman Datuk Engku naga Menghulur, ketika inilah orang ramai berkehendakan seorang raja sebagai payung. Oleh kerana ketika itu Selangor berada dalam pengaruh Bugis, terpaksalah raja ini diambil daripada kaum Bugis yang telah sedia ada di Selangor.
Pilihan ini jatuh kepada seorang Bugis bernama Harun pasarai dalam tahun 1700 dengan tabal oleh Datuk Engku Klang serta menyerahkan mohor. Beliau mangkat pada tahun 1723, kemudian digantikan oleh adiknya bernama Raja Siti, bertempat di Klang. Raja Siti mangkat dalam tahun 1743, juga tidak meninggalkan seorang zuriat pun. Inilah yang menyebabkan Raja Lumu diminta menjadi Yang DiPertuan Selangor, di Kuala Selangor.
Dari keterangan tersebut dapatlah suatu kesimpulan bahawa sebelumnya Raja Lumu menjadi Yang DiPertuan, Selangor (Klang) telah mempunyai ketua, tetapi kuasanya tidak melibatkan Kuala Selangor.
Cerita ini agak bercanggah dengan apa yang dituliskan oleh R.O Wenstedt mengenai Negeri Sembilan JMBRSS Vol X11, pt 3 1935, menyebut Raja Lumu tidak diterima oleh Datuk Engku Klang sebagai Yang DiPertuan Selangor terkecuali sesudah Raja Lumu dinobatkan oleh Sultan Perak.
Menurut dari buku Cenderamata Selangor mengatakan kira-kira tahun 1643, Raja Lumu (Lumun) seorang putera Daeng Chelak Raja Bugis telah datang ke Selangor dan menjadi Sultan Selangor Pertama bergelar Sultan Salehuddin Syah.


SULTAN-SULTAN SELANGOR YG BERTAKHTA DI KUALA SELANGOR


SULTAN SALEHUDDIN (1756 - 1778)

Buku sejarah mengenai Selangor menyebut bahawa Raja Lumu hanya mempunyai seorang adik lelaki bernama Raja Haji yang dianggap Panglima Bugis paling perkasa ketika itu, terutamanya menentang Belanda.
Tetapi ada pendapat lisan mengatakan Raja Lumu mempunyai dua orang adik, Raja Haji dan seorang lagi perempuan bernama Raja (Daeng) Hafsah, yang berkahwin dengan Daeng Lakani, kemudiannya membuat tempat di Api-api.
Dari keluarga yang tertua inilah menjadi Yang DiPertua Selangor bergelar Sultan Salehuddin Syah bersemayam di atas Bukit Selangor. Baginda di atas kerajaan dari tahun 1743 (1756) hingga 1778. Apabila mangkat dikebumikan di bukit tersebut dan dinamakan Marhum Salleh.
Baginda juga telah melantikseorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husin. Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Sultan Selangor kedua.
Di zaman pemerintahan Sultan Salehuddin inilah negeri Selangor masuk ke kancah peperangan menentang Belanda yang dibantu oleh Tun Dalam Raja Kecil Yang DiPertuan Trengganu. Inilah juga masanya Selangor berperang dengan Kedah.
Penglibatan Sultan Salehuddin dalam peperangan membantu adiknya Raja Haji inilah membawakan Belanda mengarah pandangan dan bercita-cita menakluk Selangor (Kuala Selangor).
Kemangkatan Sultan salehuddin meninggalkan empat orang putera iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Idris dan Raja Ja'afar.

SULTAN IBRAHIM (1778 - 1826)

Raja Ibrahim putera sulong Sultan Salehuddin dilantik menjadi Sultan Selangor kedua, adiknya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor.
Sultan Ibrahim dianggap seorang Sultan yang berani berhati waja di samping mempunyai pengalaman yang melalui percampurannya semasa dari kanak-kanak lagi. Baginda sering mengikut ayahandanya dalam setiap lawatan seperti ke Riau, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Bunga peperangan dan perang kecil sentiasa berlaku antara orang Bugis dengan orang Belanda sejak tahun 1740an lagi. Api ini terus menyala selepas 14hb. January, 1784. Peperangan inilah yang mengakibatkan mangkatnya Raja Haji oleh Belanda, kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar Marhum Ketapang.

Kemangkatan Raja Haji menimbulkan kemarahan Sultan Ibrahim menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dari persengkitaan antara Belanda dengan Johor itu. Sebagai persiapan berjaga-jaga dari serangan Belanda terhadap Selangor,Sultan Ibrahim telah membina dua buah kota. Kota batu atas Bukit Selangor dan kota tanah di atas Bukit Tanjung.
Sangkaan ini tepat, pada 2hb. Ogos, 1784, Belanda meyerang dan menakluki kedua-duanya kota tadi. Sultan Ibrahim dengan orang-orangnya lari ke Ulu Selangor,lalu ke Pahang menemui Bendehara Ab. Majid meminta bantuan. Semasa di Pahang Sultan Ibrahim sempat berkahwin dengan Tun Selamah, anak Bendahara Ab. Majid.
Selama Belanda di Kuala Selangor dia telah memperbaiki kota batu di Bukit Selangor. Diberinya nama Kota Altings burg sempena nama Gebenor Jeneral Belanda pada masa itu.
Begitu juga kota tanah di Bukit Tanjung dinamakan Kota Utrecht iaitu mengikut nama kapal Jacob Pieter van Braam, kemudiannya kota ini dipanggil Kota Belanda oleh Orang Melayu.
Ketika inilah Belanda melantik Raja Muhammad Ali memangku jawatan Sultan Selangor dengan dibantu anak saudaranya, Syed Ali. Kedua-duanya dari Siak. Berundurnya Sultan Ibrahim ke Pahang tidak bererti tewas terus-menerus, malah baginda menyusun pasukan tentera dan memperkemaskan segala kelengkapan di samping azam dan semangat yang berkobar-kobar.
Dengan satu tekad menuju ke matlamatnya, pada 27hb.Jun, 1785, angkatan Sultan Ibrahim berjaya menghalau Belanda yang berada di Kuala Selangor. Setelah Kuala Selangor ditadbir oleh Sultan Ibrahim baginda cuba mententeramkan Selangor dengan membuat dua perjanjian dengan Belanda iaitu pada 29hb. Julai, 1786 dan 29hb. Julai, 1790. Kemudiannya berbaik-baik dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang serta membuat perjanjian perniagaan pada 23hb. Ogos, 1818.
Di zaman pemerintahan baginda jugalah Raja Hasan dihantar k Kuala Bidor sebagai pemungut cukai bijih timah yakni sebagai suatu tanda bahawa wilayah ini tertakluk ke Selangor. Kemudian pada 11hb. Julai, 1823, sultan menandatangani perjanjian dengan Perak mengenai bijih timah.
Ketika itulah juga Siam berazam untuk menakluki Selangor. Hasil daripada perkara tersebut lahirlah pula Perjanjian Burnai pada 20hb. Jun, 1826. Akhirnya pada 27hb. Oktober, 1826 Sultan Ibrahim mangkat kemudiannya dimakamkan di atas Bukit Selangor.
Almarhum meninggalkan tujuh orang putera dan beberapa orang puteri. Mereka-mereka itu Raja Muhammad, Raja Hasan, Husain, Ahmad, Abdullah, Said dan Raja Ismail.

KUALA SELANGOR DALAM PENTADBIRAN BELANDA

Belanda menduduki di kedua-dua buah kota di Kuala Selangor dari 2hb. Ogos, 1784 hingga 28hb. Jun, 1785. Mengikut ceritanya Belanda dikalahkan hanya dalam tempuh semalam sahaja.
Tuhfat al Nafis menyebut Yamtuan Muhammad Ali membantu Belanda menyerang Kuala Selangor, kemudiannya merampas harta orang-orang di Kuala Selangor dan dibawanya pulang ke Siak.
Tinggallah Syed Ali menggelar dirinya Yang DiPertuan Selangor, tinggal di atas Bukit Kota iaitu istana Sultan Ibrahim. Dari semenjak itu tetaplah Syed Ali menjadi Yang DiPertuan Selangor dalam pemerintahan Belanda.
Sejarah Selangor pula menyebut, setelah Belanda menawan Kuala Selangor mereka telah mengangkat Raja Muhammad Ali jadi pemangku Yang DiPertuan Selangor dibantu oleh Syed Ali. Raja Muhammad Ali tidak lama di Selangor dengan Syed Ali menggantikannya tetapi tidak akui oleh pembesar-pembesar Selangor.
Sementara Sejarah Alam Melayu pula mengatakan pada 2hb. Ogos, 1784, Belanda menakluki Kuala Selangor. Sultan Ibrahim berlepas ke Bernam sementara itu Belanda di Kuala Selangor melantik Raja Muhammad Ali , anak Raja Alam dan cucu Raja Kecil Siak jadi Sultan Selangor. Tidak lama lepas itu Raja Muhammad Ali pun keluar dari Kuala Selangor.
Buku ini tidak pula menyebut apakala Raja Muhammad Ali keluar dari Kuala Selangor tempatnya diambil alih oleh Syed Ali, sebagaimana yang terdapat dalam keterangan sebelumnya.
Belanda gagal memujuk penduduk Kuala Selangor walaupun dijanjikanhendak memberikan pengampunan beramai-ramai supaya mereka pulang ke rumah masing-masing. Orang-orang besarnya enggan mengiktiraf sultan yang dilantik oleh Belanda sebagai Yang DiPertuan Selangor.
Orang ramai pula tidak mahu menjalankan perniagaan bijih timah dengan Belanda, selagi raja yang berhak tidak ditabalkan. Perdagang yang lain dibekukan terus sementara Syed Ali menghabiskan masanya dengan merompak dan membinasakan daerah ini.
Belanda melantik Raja Muhammad Ali sebagai pemangku Yang DiPertuan Selangor kerana untuk membalas jasa beliau yang membantu Belanda menentang Riau, Johor dan Selangor.
Di antara tiga orang Sultan Selangor yang bersemayam di Kuala Selangor, Sultan Ibrahimlah yang paling lama memerintah. Baginda juga dipandang oleh rakyat sebagai seorang sultan yang paling gigih.

SULTAN MOHAMMAD (1778 - 1836)

Sebagai ganti Sultan Ibrahim ditabalkan Raja Muhammad iaitu Raja Muda. Walaupun baginda bukan anak isteri pertama bergelar Sultan Muhammad bersemayam di Kuala Selangor juga.
Pentadbiran baginda yang lemah itu menyebabkan Kuala Selangor menjadi sarang perompak. Buktinya peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap Orang Melayu ioleh Cina di Lukut tidak diambil tindakan, sedangkan baginda sendiri banyak berhutang kepada saudagar-saudagar di Melaka.
Perbuatan berhutang ini hingga melibatkan baginda sendiri hendak dicolek oleh saudagar-saudagar di Melaka. Nasib baginda agak baik, menantu Raja Juma'at memberikan jaminan akan melangsaikan segala hutang-hutang tersebut.
Dari kelemahan baginda inilah juga yang menyebabkan seorang keluarga Diraja Selangor bernama Raja Busu dengan sewenang-wenangnya membuka Lukut kerana bijih timahnya tetapi tidak membayar ufti kepada Sultan Muhammad. Kelemahan-kelemahan baginda ini juga membuka luas pintu perang saudara di Selangor. Baginda juga terlalu suka memberikan sesuatu kawasan di bawahnya itu kepada menantu tidak kepada anak lelaki baginda.
Seperti mana yang terdapat Kuala Lumpur diserahkan kepada Raja Abdullah, Klang pada mulanya diberikan kepada anak lelakinya, Raja Sulaiman, tetapi apabila berlaku sesuatu Klang diserahkan pula kepada menantunya. Sementara Lukut pula diserahkan kepada Raja Juma'at iaitu menantu baginda.
Sikap memberikan kuasa Selangor dari anak kepada menantu ini menimbulkan perang saudara antara Raja Mahadi (anak saudara) menentang beliau. Begitu juga kuasa mentadbirkan negeri Selangor sendiri juga diserahkan kepada Raja Ab. Samad suami Tengku Atfah, turut membangkitkan peperangan saudara.
Kuasa menantu ini lebih meluas dan menjadi kemarahan rakyat, apabila pentadbiran Selangor diserahkan oleh Sultan Ab. Samad kepada menantunya Tengku Kudin. Kesemua perang saudara ini secara tidak langsung melibatkan Kuala Selangor. Dari pergolakan ke pergolakan yang lain menyebabkan Selangor dalam keadaan kacau-bilau. Akhirnya baginda mangkat dalam keadaan negara yang tidak stabil pentadbirannya. Baginda dimakamkan di tempat yang sama di atas Bukit Selangor.
Dengan kemangkatan sultan Muhammad, Sultan Selangor tidak lagi bersemayam di Jugra. Perpindahan tersebut berlaku kerana pergeseran antara orang-orang besar di Kuala Selangor mengenai penggantian sultan.
Pergolakan antara Raja Muhammad, putera Sultan Muhammad dengan Tengku Ampuan basik yang masih kecil dilantik sebagai Raja Muda dan dipangku oleh Raja Juma'at (Lukut) berterusan kepada perang saudara. Ketiga-tiga makam almarhum tersebut masih terdapat hingga ke hari ini dan terpelihara dengan baik di atas Bukit Selangor bersama pusara yang lain.
Setelah pentadbiran Selangor berpindah ke Jugra, di Kuala Selangor hanya tinggal seorang wakil sultan untuk memungut cukai di Sungai Selangor iaitu Raja Musa, putera Sultan Ab. Samad.
Apakala wakil sultan ini dihapuskan, Kuala Selangor hanya tinggal di bawah pempinan seorang besar daerah berjawatan Yang Dihormati Datuk Penggawa Paduka Mahabijaya Permatang dan Kuala Selangor, iaitu salah seorang dari empat orang besar Selangor.

ORANG BESAR KUALA SELANGOR

Jawatan ini bermula pada tahun 1785 semasa Selangor diperintahkan oleh Sultan Ibrahim. Orang yang pertama tidak diketahui tetapi nyata jawatan tersebut diteruskan hingga ke pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Syah yang bersemayam di Klang. Pada 20hb. Oktober, 1898, Sultan Sulaiman telah melantik seorang besar Penggawa Permatang iaitu :

1. Datuk Haji Ahmad bin Baba, bergelar Datuk Penggawa Tua Permatang
Paduka Mahabijaya.
2. Datuk Haji Mohd. Shah, digelar pada tahun 1916.
3. Datuk Ismail bin Mohd. Shah, digelar pada 13hb. Mei, 1948.
4. Datuk Hj. Ibrahim bin Datuk Ismail, dilantik pada 13hb. Mei,
1958 bergelar Paduka Mahabijaya Permatang dan Kuala Selangor.
Masih bertugas.

Mengikut setengah pendapat, di Jeram dahulunya ada seorang ketua bernama Datuk Mafak dikatakan mati tertembak peluru emas, lepas itu digantikan oleh adiknya bernama Datuk Sulaiman. Dari keturunan inilah yang digelar oleh Sultan Sulaiman sebagai Penggawa Permatang itu.
Disebabkan Permatang merupakan sebuah kampung Diraja Selangor, itulah sebabnya orang besar daerah tersebut diminta berada atau disebut Penggawa Permatang.

Thursday, 5 May 2011

Ada apa dengan Lirik lagu ini?


Meniti Titian Usang

Penyanyi: Search

"..Kertas putih salju
Ku coretkan kedukaanku
Hitam dan kelabu
Adalah warna dalam hidupku

Kejutkanlah aku kawan
Aku sedang bermimpi
Kejutkanlah aku
Yang sengsara dalam sepi

Gementar kakiku
Meniti titian usang
Berdegup jantungku
Apakah dapat ku ke seberang

Sambutlah tanganku kawan
Aku takut tenggelam
Sambutlah tanganku kawan
Jurangnya sangat dalam

Jurangnya sangat mengerikan
Ramai yang telah kecundang
Dia sedang menunggu
Untuk memimpinku
Di seberang sana
Adanya cahaya.."

Cuba kita hayati lirik lagu ini
semoga kita dapat mengambil pelajaran darinya...
ingatlah Firman Allah S.W.T didalam surah Ali Imran(Keluarga Imran)
ayat ke-103...maksudnya:"...Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali
(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya.Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat Nya kepadamu,agar kamu mendapat petunjuk..."

Wednesday, 4 May 2011

Asal-usul Nama Selangor


Ketiadaan ketua kaum di Kuala Selangor telah membawa keinginan bagi Perak dan Kedah menjadi Penghulu di situ. Malangnya tidak seorang pun dari mereka yang datang itu diterima oleh penduduk tempatan. Keadaan ini sangat berbeza dengan kedatangan Raja Lumu yang telah disambut baik dan diiktiraf menjadi Yang Dipertuan Selangor pertama.
Mereka yang datang ke situ hanya dibenarkan meneroka tanah baru dan membuat tempat kediaman di sepanjang pinggir Sungai Selangor. Sehingga ini masih terdapat lagi beberapa buah kampung mengikut nama negeri atau tempat si peneroka itu datang, umpamanya Kampung Kedah, Kampung Siam, Asahan dan Kampung Kuantan.Sebelum kedatangan Raja Lumu ke Kuala Selangor, nama Selangor telah pun wujud. Penjelasan ini didapati dari beberapa orang tempatan. Untuk mengetahui asal mulanya nama Selangor, beberapa cerita lisan telah didapati dari orang-orang yang tinggal di Kampung Permatang, Kampung Kuantan dan Jeram.

Cerita-cerita lisan

Ada cerita mengatakan nama Selangor ialah dari sebutan seekor langau, sejenis binatang merupai lalat tetapi berwarna hijau.
Cerita ini selanjutnya menerangkan kononya seorang pahlawan datang dari selatan dalam perjalanannya ke utara. Pahlawan itu datang dari Melaka yang ketika itu telah dikalahkan Portugis. Beliau keletihan dan cuba berehat di bawah sebatang pokok. Belum pun sempat melelapkan mata datang seekor langau terbang mengelilingi kepalanya .
Kemudian langau itu hinggap di hidungnya, pahlawan itu cuba menamparnya tetapi langau tersebut terbang. Begitulah keadaannya beberapa kali. Dengan satu tekad pahlawan tadi membuat keputusan sekiranya keadaan itu berlaku lagi ia akan menampar langau tersebut sekuat-kuat hatinya. Apakala langau tersebut hinggap ke batang hidungnya pahlawan itu pun menampar seberapa kuat yang boleh, malangnya langau terus berlalu hanya tinggal kesan sakitnya sahaja di batang hidung.Dari keadaan inilah setiap kali dia memegang hidungnya setiap itulah pula teringatkan kesan seekor langau. Tebitlah di fikirannya bahawa dia tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana panglima atau pahlawan, tetapi dia tewas oleh seekor langau sahaja.Kejadian ini telah menimbulkan keinginannya untuk meneroka tempat tersebut dan membatalkan sahaja rancangannya hendak mengembara lebih jauh lagi. Tempat itulah dinamakan se (satu) langau, kemudiannya Selangor.
Kisah ini ada persamaannya dengan cerita asal nama Singapura, iaitu bermula dari SINGA PURA-PURA sejenis binatang membawa nama baru pada Temasik. Begitulah juga dari pokok melaka dan kejadian anjing kepunyaan Sultan Mahmud Syah yang dibawa oleh bendahara sri Wak Raja berburu, kemudiannya tercampak ke dalam perigi buta kerana ditendang oleh seekor pelanduk putih. Dari sempena baginda bersandar ke pokok melaka lahirlah nama Melaka.
Pendapat lain menyebut bahawa nama Selangor berasal dari banyaknya pokok mentangau, sejenis kayu laut. Sebenarnya pokok mentangau ini masih boleh lagi didapati sekarang ini di pinggir Sungai Selangor.
Selain dari itu ada lagi pendapat mengatakan pokok-pokok kayu mentangau ini selain dari banyak tumbuhnya, ia juga sejenis kayu yang tinggi dan boleh nampak dari laut, sehinggakan setengah-setengah pedagang mengatakan, "Aku nak singgah di kuala mentangau," kepelatan ini menjadi Selangor.Lagi pun mengikut kebiasaannya orang-orang zaman dahulu terlalu suka memberi nama sesuatu tempat itu berpandukan kepada nama pokok atau kejadian di situ.Beberapa buah kampung di daerah Kuala Selangor sendiri banyak yang dilahirkandari nama pokok. Umpamanya : kampung-kampung Assam Jawa, Api-api, Sungai Buluh, Bukit Rotan, Ijok.
Di tempat-tempat lain juga terdapat beberapa buah tempat yang berasal dari nama pokok, umpamanya Durian Sebatang, Durian Tunggal, Bagan Serai, Bukit Lada, Pulau pinang, Nibong Tebal dan lain-lain lagi.Sebuah lagi cerita mengatakan ada sebuah bahtera dari Kedah ke Selangor kerana nakhodanya ingin menjadi Penghulu di situ. Berita ini lebih dahulu telah diketahui oleh orang-orang Kuala Selangor, oleh sebab itu mereka menjalankan ikhtiar agar rombongan tersebut tidak dapat mudik Tidak jauh dari kuala sungai yang dimudiki oleh bahtera Kedah itu ia pun tersekat dan tidak dapat bergerak lagi. Beberapa ikhtiar telah dicuba tetapi semuanya tidak berjaya. Nakhodanya pun memerintahkan supaya salah seorang dari anak buahnya turun ke dasar sungai melihatkan apakah yang menyebabkan bahteranya tidak dapat bergerak.Dalam tinjauannya itu didapati beratus-ratus batang kayumentangau telah beruncing hujungnya disusun berselang-seli di perut sungai tersebut. Kononnya kerja-kerja ini adalah satu usaha menghalang kemaraan angkatan Kedah tadi ke tempat tersebut. Dari itulah datangnya perkataan sungai mentangau.

Pendapat lain pula menyebut nama Selangor adalah berasal dari perkataan salang dan jemur. Ini berpandukan kepada suatu tempat di pinggir Sungai Selangor yang dahulunya dijadikan tempat menghukum penderhaka dengan hukuman salang dan kemudiannya dijemur. Gabungan dari perkataan salang dan jemur ini terbitlah Selangor.Satu lagi pendapat menyebut nama Selangor sememangnya berasal dari perkataan mentangau, tetapi bentuk ceritanya berbeza.

Menurut ceritanya seorang yang dianggap sebagai panglima diraja tetapi tidak diketahui dari mana datangnya, setelah memudiki sungai tersebut bersama-sama keluarganya, kira-kira dua batu dari kuala sungai terdapat di kawasan keadaan air di situ berolak dan berpusing.
Walaupun begitu panglima ini meneruskan juga perjalanannya hingga bertemu dengan sebatang pongka kayu mentengau di tengah-tengah sungai tersebut. Inilah yang menyebabkan keadaan air di situ berolak. Sekiranya dilintasi juga nescaya akan karamlah perahunya.
Setelah dirundingkan bersama-sama keluarganya, panglima itu pun mematikan cita-citanya dan meneroka tempat tersebut. Beberapa kemudian anak perempuannya telah menjadi gadis, beberapa orang jejaka berhampiran dengan kampungnya itu telah datang meminang tetapi semuanya ditolak.
Tamil menamakan Salang ur yang bererti kampung salang yakni kampung orang salang. Pendapat ini juga boleh dipadankan dengan nama asal Singapura, yang berasal dari SINGGAH PURA atau BANDAR SINGGAH dalam bahasa Hindu tua.

Penduduk Awal Kuala Selangor

Penduduk Kuala Selangor yang awal adalah dari orang laut yang hidup dengan menangkap ikan. Mereka tinggal disepanjang tebing sungai Selangor kira-kira 3 batu dari kuala sungai hingga ke hulunya.
Ketua mereka terdiri dari seorang wanita keturunan Bugis yang mempunyai sifat kasih dan penyayang serta pandai mengambil hati anak buahnya. Sifat-sifat inilah yang menarik perhatian penduduk di situ tidak akan berketuakan lain dari keturunan Bugis. Walaupun ada orang lain yang ingin menjadi ketua di Kuala Selangor.
Tetapi dalam buku R.J. Wilkinson ada mengatakan orang Bugis yang bertempat di Selangor (Kuala Selangor) bernama Daeng Lakani dalam K.M 17 bererti di Kuala Selangor ada didiami oleh kaum lain sebelum itu, dengan itu nyatalah orang Bugis telah bertapak di Kuala Selangor sejak K.M. 17 lagi.
Penduduk di Kuala Selangor ketika itu dikatakan sebagai petani dan nelayan, ada juga menjalankan kegiatan melanun dan menyamun di sepanjang pantai Selangor. Hasil dari samunan ini mereka simpan di sebuah teluk yang sehingga kini dikenali dengan nama Teluk Penyamun, kira-kira sebatu dari Kuala Sungai.
Sejarah Melayu, naskhah Raffles No 18, ada menyebut bahawa semasa Sultan Mahmud Shah Melaka di Bentan kira-kira T.M 1513, Tun Mahmud (Seri Agar Diraja) dirajakan di Selangor.
Jeram, di antara tempat-tempat yang tertua di Selangor, terletak di daerah ini telah juga tersebut dalam Sejarah Melayu. Dikatakan bahawa Sultan Mansur Syah Melaka yang memerintah dari 1459 hingga 1477 telah merajakan peteranya Paduka Seri Cina di Jeram.
Satu lagi tempat tertua di Selangor ialah Permatang, bertentangan dengan Kuala Selangor dan diceraikan oleh Sungai Selangor. Permatang adalah terletak di bawah pengaruh kerajaan Melaka dan apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511, kekuasaan terhadapnya diwarisi oleh kerajaan Johor.
Pada Kurun Masehi 17 semasa orang Bugis secara beramai-ramai keluar dari negerinya mencari tempat dan penghidupan baru, Selangor adalah merupakan tempat yang menjadi tumpuan mereka. Di Selangorlah juga dijadikan sebagai pusat gerakan untuk ke negeri-negeri lain seperti Perak dan Kedah.
Dari keterangan di atas nyatalah Selangor telah dikenali sebelum Kurun Masehi 17, ini bermakna Selangor telah didiami oleh orang dan ada penduduk sebelum tarikh tersebut

Sejarah Awal Selangor


Nama Selangor bermula dari Kuala Selangor, sebuah pekan di pinggir Sungai Selangor. Timbulnya nama Selangor adalah sempena sungainya. Kuala sungai ini dinamakan Kuala Selangor. Zaman dahulu memang telah menjadi kebiasaan orang menamakan sesuatu tempat itu dari nama sungai. Sebagaimana yang diketahui mereka tinggal di tebing sungai yang menjadi alat perhubungan ketika itu.
Negeri Perlis adalah berasal dari Sungai Pelit (Perlite dalam bahasa Perancis membawa erti batu, yakni sungai batu), demikian juga pada nama Selangor. Diagakkan nama Selangor (Kuala Selangor) ini juga telah wujud lebih awal dari Kurun Masehi 15, kerana sebelum Melaka dikalahkan oleh Portugis dalam tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluk oleh Melaka.
Dalam Sejarah Melayu menyebut zaman Paduka Seri Maharaja memerintah Singapura ada seorang Pasai bernama Tun Jana Khatib mahir Ilmu Khayal Lillah dan Tauhid mempunyai dua orang sahabat iaitu seorang pergi ke Samarlingga (Selangor) dan seorang lagi ke Bungoran sementara Tun Jana Khatib pergi ke Singapura. Mengikut catitan, Paduka Seri Maharaja memerintah dalam Kurun Masehi 14 (1301-1400 ).
Jika keterangan ini benar, jelaslah bahawanama Selangor telah pun adaketika itu ada pun sebelumnya.Dalam kitab Jawa Negarakertagama yang terkarang di pertengahan Kurun Masehi 14 pula menyebut nama Klang tertakluk ke Majapahit.Beberapa keping peta lama tersimpan di negeri Cina dan dipercayai peta itu yang menjadi panduan kepada Laksamana Cheng Ho, salah seorang ahli perlayaran Cina yang dipercayai belayar dalam tahun 1405-1433. Dalam peta tersebut ada tertulis Sungai Klang dan Selangor darat.
Sejarah Melayu juga ada menyebut di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458), Tun Perak telah dijemput menjadi Penghulu di Klang.
Dalam khutub khanah Royal Asiatic Society di London terdapat senaskhah Sejarah Melayu bertulis tangan terkumpul bersama-sama buku Raffles ada menyebutkan Tuan Bendahara Johor mengahwinkan anaknya, Tuan Mahmud dengan puteri Raja Beruas (Perak) dan Tuan Mahmud diberi memerintah Selangor.
Memandangkan segala keterangan di atas, nyatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun Masehi 15.
Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanya politik negeri tersebut. Kata-kata ini tidak siapa yang dapat menafikan kerana segala bukti yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya pentadbiran negeri itu masih terdapat hingga sekarang.

Sebelum Daeng Chelak, anak raja Bugis lima bersaudara dari Pulau Sebilis itu datang ke Selangor, di Kuala Selangor telah memang ada didiami oleh manusia diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari kaum Bugis yang bernama Upu Chendera Burung.
Sifat seorang pemerintah yang bertimbangrasa inilah yangmempengaruhi hati penduduk asli di situ, hinggakan mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis. Faktor inilah yang menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan.Apabila meninggalnya ketua mereka,lalu dikebumikan di atas sebuah bukit. Mengikut ceritanya bukit itu ialah Bukit Hospital yang berhampiran dengan Majlis Daerah Kuala Selangor sekarang ini (1979). Di sisi pusara Upu Chendera Burung ini terdapat sebuah kolam air tawar dan sepohon bunga Tanjung.